Sunday, March 10, 2013


Apakah definisi peribahasa?

Peribahasa bermaksud ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu.


SEJARAH PERIBAHASA MELAYU?

Peribahasa berasal daripada tiga sumber.
Sumber pertama ialah rakyat jelata yang mencipta peribahasa melalui pengalaman hidupnya.
Sumber kedua ialah orang-orang arif bijaksana, yang mengeluarkan ungkapan kata-kata hasil daripada renungannya.
Sumber ketiga ialah kitab suci.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang peribahasa sila rujuk buku peribahasa, contohnya Kamus Istimewa Peribahasa Melayu (Abdullah Hussain). 

Friday, March 8, 2013

PENGGUNAAN AKU JANJI ATAU AKUR  JANJI

aku janji atau akujanji? mana satu betul?

JAWAPAN

Ejaan yang betul ialah 'aku janji'.

Perkataan aku janji ialah padanan undertaking dalam bahasa Melayu yang lazimnya digunakan dalam bidang pentadbiran, manakala perkataan akur janji boleh digunakan dalam konteks umum yang bermaksud setuju berjanji
PENGGUNAAN PERKATAAN BARU  DAN BAHARU

keliru dengan penggunaan perkataan baharu atau baru.
Contoh:
Tahun Baru atau Baharu.
Kereta Baru atau Baharu
ketua Perkhidmatan baharu

Adakah perkataan baru telah di tukarkan dengan ejaan baharu

Jawapan

Kata baharu atau baru digunakan dalam konteks rumah baharu, kasut baharu, tahun baharu dsb. Mengikut Kamus Dewan Edisi 4, hal. 131 bermaksud belum ada sebelumnya,belum lama wujud.Padanan bahasa Inggerisnya ialah new. 

Kata baru digunakan dalam konteks baru datang, baru kelihatan, baru sedar, baru-baru ini dsb. Padanan bahasa Inggerisnya ialah just.

Kita kerap melihat ramai pihak yang menggunakan perkataan 'tentatif' dalam buku atur cara majlis. Adakah penggunaan perkataan 'tentatif' itu tepat ?

Jawapan

Tentatif bermaksud tidak muktamad (pasti) atau masih boleh berubah. Kebiasaannya perkataan ini digunakan pada peringkat prapelaksanaan projek dan tidak lagi digunakan apabila telah muktamad seperti dalam buku atur cara majlis.

CONTOH SOALAN NOVEL 6:20

Soalan 1

Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim, nyatakan tema bagi novel ini. Berikan tiga contoh peristiwa yang sesuai yang dapat menggambarkan tema tersebut.

Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul  “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim. Novel  ini membawa tema perjuangan golongan muda dalam menentang anasir-anasir barat yang mempengaruhi jiwa mereka. Perjuangan ini diwakili oleh Sukma, Rafiq dan Teja yang berusaha gigih  untuk menyelamatkan golongan remaja (pelajar sekolah menengah dan  universiti) daripada terus hanyut dengan pengaruh pemikiran barat yang  menuntut kebebasan hidup seperti menganggotai kumpulan ‘black metal’  yang telah dilakukan oleh Jerry.

Selain itu, Sukma dan rakan- rakannya berusaha untuk menyiasat  aktiviti yang dilakukan di Kelab WX2 itu, walaupun mungkin ada bahaya yang  menanti.

Seterusnya, kegigihan Sukma dan rakan - rakannya itu berhasil apabila  usaha mereka itu berjaya dengan kerjasama anggota keselamatan.


Soalan 2

Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim, nyatakan tiga persoalan yang terdapat dalam novel ini. Berikan juga contoh peristiwa yang sesuai bagi  menggambarkan persoalan tersebut.

Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim. Terdapat beberapa persoalan yang menunjangi novel ini.Satu daripada persoalan yang terdapat dalam novel ini ialah kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anaknya. Ibu Sukma berasa sangat bimbang apabila Sukma ingin berjumpa dengan tetamu-tetamu misteri di hadapan rumahnya pada jam 6:20 kerana baginya tindakan Sukma akan membawa bahaya kepada dirinya.Selain itu, persoalan yang lain ialah konflik dalam keluarga.

Persoalan ini dipaparkan melalui konflik yang berlaku antara Puan Delia dengan anaknya Sukma. Puan Delia beranggapan Sukma mengalami tekanan perasaan dan telah membelikannya sebuah buku untuk mengurangkan masalahnya.

Di samping itu, tanggungjawab seorang sahabat juga merupakan satu daripada persoalan yang terdapat dalam novel 6:20 ini. Sebagai contoh, Jerry sanggup membantu Sukma dengan memberitahu segala maklumat kelab WX2 walaupun Jerry tahu bahawa nyawanya akan terancam.




Soalan 3
Berdasarkan novel  “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim, nyatakan watak utama  dalam novel ini. Nyatakan juga tiga perwatakannya dan berikan contoh  peristiwa yang sesuai yang dapat menggambarkan setiap perwatakan tersebut.

Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim.  Watak Utama dalam novel ini ialah Nur Sukma binti Haji Shakir. Perwatakan Sukma ialah dia seorang yang  taat kepada ibunya. Sebagai contoh, Sukma akur dengan arahan ibunya yang melarangnya berjumpa dengan tetamu misteri yang hadir di hadapan rumah pada setiap jam 6:20 pagi.

 Selain itu, Sukma juga seorang yang berani. Hal ini terbukti ketika  Sukma secara berseorangan pergi ke Kelab WX2 semata-mata hendak menyiasat aktiviti yang dilakukan di kelab tersebut.

Di samping itu, Sukma juga seorang yang bijak. Hal ini jelas dilihat apabila Sukma sering dipuji oleh pensyarahnya, Profesor Darul atas  kebijaksanaannya mengemukakan pendapat dalam dewan kuliah.



Soalan 4

Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim, nyatakan tiga latar tempat. Bagi setiap latar tempat tersebut, berikan contoh peristiwa yang berlaku.

Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim. Dalam novel ini terdapat beberapa latar tempat.Latar tempat yang pertama ialah  di hadapan pagar rumah Sukma.  Sukma berasa pelik apabila menerima tetamu yang tidak dikenali di hadapan  rumahnya pada jam 6:20 pagi.

 Seterusnya, latar tempat yang kedua ialah di dalam bilik Sukma.  Sukma membawa Aim balik ke rumahnya lalu menyembunyikan Aim di dalam biliknya kerana bimbang dimarahi oleh ibunya.

Di samping itu, latar yang lain ialah di dalam dewan kuliah di universiti tempat Sukma belajar. Sukma sering mendapat pujian daripada Profesor Darul yang kagum dengan kebijaksanaannya memberikan pendapat dan menjawab soalan yang dikemukakan dalam kuliah.





Soalan 5

Berdasarkan novel  “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim, nyatakan tiga latar masa. Bagi setiap latar masa tersebut, berikan contoh peristiwa yang berlaku.

Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul  “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim. Terdapat beberapa latar masa yang dipaparkan dalam novel ini.
Satu daripadanya ialah pada jam 6:20 setiap pagi. Sukma berasa pelik apabila menerima tetamu yang tidak dikenali di hadapan rumahnya pada jam 6:20 pagi.

Selain itu, latar masa yang lain ialah pada waktu pagi. Sukma biasanya akan menghadiri kuliah di universiti pada waktu pagi.

Seterusnya, latar masa yang juga terdapat dalam novel ini ialah pada waktu petang. Pada suatu petang, Aim telah mengejutkan Sukma daripada tertidur. Sukma tertidur dalam biliknya kerana keletihan dan kesedihan mengenangkan keadaan dirinya sekarang berbanding ketika dia masih kecil.


Soalan 6

Berdasarkan novel  “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim , nyatakan tiga latar  masyarakat. Bagi setiap latar masyarakat tersebut, berikan contoh peristiwa yang berlaku.

Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim. Dalam novel ini terdapat beberapa latar masyarakat yang dipaparkan.
Pertama, latar masyarakat yang terdapat dalam novel ini ialah masyarakat yang mengambil berat terhadap golongan muda. Peristiwa yang berkaitan latar masyarakat ini ialah Puan Delia iaitu ibu kepada Sukma  menyamar sebagai salah seorang ahli kumpulan WX2 dengan menjadi pemerhati dalam kumpulan tersebut untuk mengetahui pergerakan kumpulan tersebut.

Selain itu, latar masyarakat yang lain pula ialah masyarakat yang tabah menghadapi dugaan dan cabaran. Sebagai contoh,
Nenek dan Aim  tabah menghadapi dugaan dengan menjual buah manggis untuk menyara kehidupan mereka berdua, selepas anaknya (ayah Aim) meninggal dunia, ditambah lagi ibu Aim yang lari meninggalkan dia dan Aim.

Latar masyarakat yang seterusnya ialah masyarakat yang mudah terpengaruh oleh golongan pemikiran Barat. Hal ini dapat dilihat apabila Iskandar, Jerry dan Reny yang menyertai kumpulan WX2 yang  memperjuangkan kebebasan mutlak akibat dipengaruhi pemikiran Barat.



Soalan 7

Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim, nyatakan tiga nilai. Huraikan contoh peristiwa yang berlaku yang sesuai dengan setiap nilai tersebut.

Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim.Terdapat beberapa nilai dalam novel ini.Nilai yang pertama ialah kasih sayang.Ibu Sukma menghadiahkan Sukma sebuah buku kerana risau tentang diri Sukma yang dikatakan mengalami tekanan perasaan.Hal ini menunjukkan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya.

Selain itu, nilai yang lain ialah bantu-membantu. Tuan Haji Syaqir berjaya membantu Ehsan dengan mengumpulkan dana bagi membiayai  pembedahan jantung dan rawatan kulit Ehsan.

Di samping itu, nilai seterusnya ialah setia kawan. Sukma dan Rafiq sanggup  menasihati dan menghadapi bahaya untuk menyelamatkan rakan  baik mereka iaitu Jerry dan Iskandar daripada terus dipengaruhi pemikiran barat melalui penglibatan mereka dalam “ruang sepi” di Kelab WX2.



Soalan 8

Berdasarkan novel  “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim, nyatakan tiga pengajaran. Huraikan contoh peristiwa yang berlaku yang sesuai dengan  setiap pengajaran tersebut.

Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul  “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim. Dalam  novel ini terdapat beberapa pengajaran yang dapat diambil iktibar. Pengajaran yang pertama  ialah  kita hendaklah menghormati golongan yang lebih tua daripada kita.  Sukma menghormati ibunya dengan tidak pergi menemui tetamu-tetamu misteri yang berkunjung ke rumahnya apabila dia ditegah oleh ibunya kerana bimbang akan keselamatannya.

Kedua, seorang sahabat hendaklah mempunyai sikap setia kawan.  Sukma dan Rafiq sanggup menghadapi bahaya untuk menyelamatkan  rakan baik mereka iaitu Jerry dan Iskandar daripada terus dipengaruhi dengan pemikiran barat.

Ketiga, kita hendaklah tabah menghadapi dugaan dan cabaran. Nenek dan Aim tabah menghadapi dugaan dengan menjual buah manggis  untuk menyara kehidupan mereka berdua, selepas anaknya (ayah Aim) meninggal dunia, ditambah lagi ibu Aim yang lari meninggalkan dia dan Aim.