Monday, September 29, 2014

Bahasa istana Melayu

Bahasa Istana
Bahasa Biasa

Almarhum
Allahyarham
ampun kurnia
maaf
anugerah
beri; hadiah
baginda
dia (raja menyapa rakyat)
beradu
tidur
berangkat
berlepas; bertolak
bercemar duli
berjalan; pergi ke
berkenan
sudi; suka akan
berputera
beranak; bersalin
bersabda
berkata
bersiram
mandi
bertitah
berkata
beta
saya (raja)
daulat
bahagia
gering
sakit
hari keputeraan
hari jadi
hulu
kepala
iram-iram
payung
kaus
kasut
kurnia
beri; hadiah
mahkota
topi
makam
kubur
mangkat
mati; meninggal dunia
menghadap
menjumpai
murka
marah
patik
saya (rakyat menghadap raja)
peraduan
tempat tidur
permaisuri
isteri
putera
anak lelaki
puteri
anak perempuan
santap
makan
semayam
duduk; tinggal
sembah
memberi salam
singgahsana
kerusi
titah
kata; perintah


Malaysia merupakan sebuah negara yang berpotensi untuk lebih maju dalam sektor pelancongan. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan oleh akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah “Usaha-usaha Untuk Memajukan Sektor Pelancongan Negara”.

Tulis rencana itu selengkapnya.


Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara (negara-negara asing). Banyak produk pelancongan yang wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yang diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancong luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempatan. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.

Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetitif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak pada setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan acara antarabangsa memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan. Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjungi negara ini bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat ke tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil menyelam minum air. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.

Selain itu, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan sambutan Tahun Melawat Malaysia ini lagi. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetitif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancong tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.


PETIKAN 1

Senaraikan peribahasa yang terdapat dalam petikan  di bawah.

  “Melentur buluh biarlah daripada rebungnya” bermaksud mendidik anak- anak hendaklah dari kecil lagi. Peribahasa ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk membentuk sebuah masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai kekeluargaan. Peribahasa ini merupakan satu nasihat yang amat baik untuk mendidik anak-anak agar cemerlang dan berguna kepada negara apabila dewasa kelak. Anak-anak laksana kain putih menjadi lebih mendengar nasihat jika diasuh sejak kecil kerana belum terpengaruh dengan unsur negatif.

            Aku masih ingat lagi, jiranku Mak cik Mona seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak sahaja. Kematian suaminya akibat penyakit jantung menyebabkan dia kehilangan tempat bergantung. Kehidupan mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang  tidak menghalang Mak cik Mona memberi pendidikan yang sempurna kepada anaknya, Iqbal. Iqbal ditating bagai minyak  penuh.  Mak cik Mona berharap agar suatu hari nanti Iqbal akan dapat memenuhi impian arwah ayahnya untuk menjejakkan kaki ke menara gading.Baginya membesarkan anak biarlah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

            Setiap pagi, Mak cik Mona terpaksa bangun seawal jam empat pagi untuk menyiapkan nasi lemak dan kuih-muih. Semasa Iqbal pergi ke sekolah, dia akan membawa kuih-muih dan nasi lemak yang disiapkan oleh ibunya untuk dihantar ke warung Pak Mail. Sekembalinya dari sekolah, Iqbal akan mengambil duit hasil jualannya tadi dan membeli barang-barang keperluan yang dipesan oleh ibunya. Walaupun pendapatan mereka tidak seberapa, namun wang tersebut mampu menyara kehidupan mereka berdua. Perangai Iqbal tak ubah seperti arwah ayahnya. Bagaimana acuan begitulah kuihnya; bagaimana contoh begitulah gubahannya.

            Sejak dari kecil, Iqbal telah dididik dengan ilmu agama.Setiap petang dia belajar mengaji Al-Quran dengan Haji Ibrahim di masjid. Haji Ibrahim juga turut mengajar fardu ain kepada anak-anak di kampung itu. Selepas itu, Iqbal akan terus pulang ke rumah untuk mengulang kaji pelajaran. Dia patuh akan nasihat ibunya agar cepat pulang ke rumah dan tidak bercampur dengan budak-budak kacang hantu di kampungnya.

            Semakin meningkat remaja, Iqbal menjadi seorang anak yang berbudi pekerti luhur. Dia tidak pernah mengabaikan pelajaran dan tanggungjawab kepada ibunya. Dalam setiap peperiksaan, dia telah menunjukkan prestasi yang cemerlang. Guru-guru selalu memuji dan menjadikan dia sebagai contoh kepada pelajar-pelajar lain di sekolahnya. Ibunya selalu mengingatkan Iqbal supaya tidak lupa diri. Tidak hairanlah Iqbal telah muncul sebagai pelajar terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu. Bagi Iqbal di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dia selalu berpegang pada prinsip hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

            Kejayaan yang diperoleh telah melayakkan Iqbal melanjutkan pelajaran ke menara gading. Akhirnya, ketekunan dan usaha gigih Iqbal membuahkan hasil. Iqbal telah berjaya menjawat jawatan penting di ibu kota. Iqbal bukan sahaja berjaya dalam bidang kerjaya yang diceburi tetapi dia juga menjadi seorang yang baik sahsiahnya dan berpegang teguh kepada agama. Dia bukanlah individu yang diibaratkan seperti kacang lupakan kulit. Kesungguhan dan ketabahan Mak cik Mona membesarkan anaknya telah terbalas. Mak cik Mona bersyukur kepada Tuhan dan berasa gembira kerana janji kepada suaminya telah terlaksana.

PERIBAHASA YANG TERDAPAT DALAM PETIKAN

1.Melentur buluh biarlah daripada rebungnya
2. kais pagi makan pagi, kais petang makan petang
3. kacang hantu
4. kacang lupakan kulit.
5. Laksana kain putih
6. Ditating bagai minyak penuh
7. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
8. Bagaimana acuan begitulah kuihnya; bagaimana contoh begitulah gubahannya.
9. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
10.Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.