Monday, September 29, 2014

PETIKAN 1

Senaraikan peribahasa yang terdapat dalam petikan  di bawah.

  “Melentur buluh biarlah daripada rebungnya” bermaksud mendidik anak- anak hendaklah dari kecil lagi. Peribahasa ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk membentuk sebuah masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai kekeluargaan. Peribahasa ini merupakan satu nasihat yang amat baik untuk mendidik anak-anak agar cemerlang dan berguna kepada negara apabila dewasa kelak. Anak-anak laksana kain putih menjadi lebih mendengar nasihat jika diasuh sejak kecil kerana belum terpengaruh dengan unsur negatif.

            Aku masih ingat lagi, jiranku Mak cik Mona seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak sahaja. Kematian suaminya akibat penyakit jantung menyebabkan dia kehilangan tempat bergantung. Kehidupan mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang  tidak menghalang Mak cik Mona memberi pendidikan yang sempurna kepada anaknya, Iqbal. Iqbal ditating bagai minyak  penuh.  Mak cik Mona berharap agar suatu hari nanti Iqbal akan dapat memenuhi impian arwah ayahnya untuk menjejakkan kaki ke menara gading.Baginya membesarkan anak biarlah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

            Setiap pagi, Mak cik Mona terpaksa bangun seawal jam empat pagi untuk menyiapkan nasi lemak dan kuih-muih. Semasa Iqbal pergi ke sekolah, dia akan membawa kuih-muih dan nasi lemak yang disiapkan oleh ibunya untuk dihantar ke warung Pak Mail. Sekembalinya dari sekolah, Iqbal akan mengambil duit hasil jualannya tadi dan membeli barang-barang keperluan yang dipesan oleh ibunya. Walaupun pendapatan mereka tidak seberapa, namun wang tersebut mampu menyara kehidupan mereka berdua. Perangai Iqbal tak ubah seperti arwah ayahnya. Bagaimana acuan begitulah kuihnya; bagaimana contoh begitulah gubahannya.

            Sejak dari kecil, Iqbal telah dididik dengan ilmu agama.Setiap petang dia belajar mengaji Al-Quran dengan Haji Ibrahim di masjid. Haji Ibrahim juga turut mengajar fardu ain kepada anak-anak di kampung itu. Selepas itu, Iqbal akan terus pulang ke rumah untuk mengulang kaji pelajaran. Dia patuh akan nasihat ibunya agar cepat pulang ke rumah dan tidak bercampur dengan budak-budak kacang hantu di kampungnya.

            Semakin meningkat remaja, Iqbal menjadi seorang anak yang berbudi pekerti luhur. Dia tidak pernah mengabaikan pelajaran dan tanggungjawab kepada ibunya. Dalam setiap peperiksaan, dia telah menunjukkan prestasi yang cemerlang. Guru-guru selalu memuji dan menjadikan dia sebagai contoh kepada pelajar-pelajar lain di sekolahnya. Ibunya selalu mengingatkan Iqbal supaya tidak lupa diri. Tidak hairanlah Iqbal telah muncul sebagai pelajar terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu. Bagi Iqbal di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dia selalu berpegang pada prinsip hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

            Kejayaan yang diperoleh telah melayakkan Iqbal melanjutkan pelajaran ke menara gading. Akhirnya, ketekunan dan usaha gigih Iqbal membuahkan hasil. Iqbal telah berjaya menjawat jawatan penting di ibu kota. Iqbal bukan sahaja berjaya dalam bidang kerjaya yang diceburi tetapi dia juga menjadi seorang yang baik sahsiahnya dan berpegang teguh kepada agama. Dia bukanlah individu yang diibaratkan seperti kacang lupakan kulit. Kesungguhan dan ketabahan Mak cik Mona membesarkan anaknya telah terbalas. Mak cik Mona bersyukur kepada Tuhan dan berasa gembira kerana janji kepada suaminya telah terlaksana.

PERIBAHASA YANG TERDAPAT DALAM PETIKAN

1.Melentur buluh biarlah daripada rebungnya
2. kais pagi makan pagi, kais petang makan petang
3. kacang hantu
4. kacang lupakan kulit.
5. Laksana kain putih
6. Ditating bagai minyak penuh
7. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
8. Bagaimana acuan begitulah kuihnya; bagaimana contoh begitulah gubahannya.
9. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
10.Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.



No comments:

Post a Comment